Saturday 24 December 2011

~KERANA CINTA, ALLAH DIPERSIA~


Ajarilah kami bagaimana memberi sebelum meminta,
berfikir sebelum bertindak,
santun dalam berbicara,
tenang ketika gundah,
diam ketika emosi melanda,
bersabar dalam setiap ujian.

Jadikanlah kami orang yang selembut Abu Bakar As-Siddiq,
sebijaksana Umar bin Khattab,
sedermawan Uthman bin Affan,
sepintar Ali bin Abi Thalib,
sesederhana Bilal & setegar Khalid bin Walid radliallahu'anhum ..
Amiin Ya Rabbal'alamin



Jika cinta adalah kerinduan,
maka jadikanlah rindu ini dalam dzikir pada-Mu.
Jika cinta adalah perjuangan,
maka kobarkanlah semangat di dada kami.
Jika cinta adalah pengorbanan,
maka jadikan pengorbanan ini tidak sia-sia di sisi-Mu.
Jika cinta adalah air mata,
maka jadikan ia air mata taubat pada-Mu Ya Allah..
SMS, Chatting & Call siang malam akhirnya mengheret si dara & si teruna yang saling merindui & bercinta untuk berdating.
Awalnya sekali. Kemudian, berkali-kali.

"Ayang, abang sanggup lakukan apa sahaja untuk ayang," janji si teruna.
"Ayang juga sanggup serahkan jiwa & raga demi abang," balas si dara dengan wajah berbunga-bunga.

"Jika benar kata ayang, apa buktinya??"
Sudah!


Kuat sekali magnet teruna & dara.
Tidak hairanlah Allah SWT melarang menghampiri zina sama ada dengan hati,
lisan ataupun perbuatan, apatah lagi berzina.
Sama ada dengan sengaja atau tidak, bercinta sebelum berkahwin amat terdedah kepada
"nyamuk-nyamuk ikhtilat"
(pergaulan bebas yang menghampiri zina)

Pernahkah kata & janji seindah teruna & dara kita lafazkan kepada Pencipta cinta?
Bukankah Dia yang terlalu mencintai kita lebih berhak mendapat cinta kita?
Dimanakah Allah dihati kita?



Ada kalanya cinta menjadi seperti singa & pedang
berkuasa, mulia & gah di tangan pejuang.
Cinta ini menjadikan yang hina menjadi mulia,
yang miskin menjadi kaya jiwa,
yang kaya menjadi dermawan & yang melarat menjadi terhormat.
Inilah cinta yang Allah SWT redhai iaitu cinta kepada Allah, Rasulullah saw, ilmu, keluarga, perjuangan & seumpamanya.

Ada kalanya cinta menjadi bencana besar
Mengundang 1001 akibat, sengsara, derita & penyesalan.
Cinta inilah yang menjatuhkan seorang pemimpin hebat seperti Bill Clinton kerana seorang wanita bernama Monica Lewinsky. Begitu juga cinta ini merosakkan populariti si Raja Golf Dunia, Tiger Woods kerana skandal seksnya dengan ramai wanita.

Ada kalanya cinta menjadi seperti arak yang memabukkan
Khayal & tenggelam.
Hilang arah & pedoman.
Inilah cinta sebelum pernikahan.
Cinta ini banyak ditagih oleh anak-anak muda pada zaman ini. Keasyikan mereka membuatkan akal yang mabuk tidak mampu menikmati lazat & manisnya nasihat & teguran.






cinta fitrah
Prof. Syeikh Abdullah Nasih Ulwan dalam bukunya al-Islam wa al-Hub menulis :
"Cinta itu ialah kecenderungan kepada sesuatu."
Wujudkah manusia sihat yang tidak cenderung kepada sesuatu?

Rasa minat, kagum, rindu, teringat, suka, cinta & sayang kepada seseorang ialah fitrah setiap insan.
Perasaan indah ini singgah mengusap di setiap hari. Tiada siapa terkecuali. Semua orang akan merasainya. Itu petanda seseorang itu normal & sihat. Fitrah ini akan tetap fitrah apabila ia berhias istighfar & mujahadah. Bersyukurlah kerana rasa mencintai itu adalah nikmat yang berharga dari Allah buat hamba-Nya yang dikasihi berbanding makhluk-makhluk Nya yang lain =)

Soal cinta amat akrab dengan soal hati.Oleh sebab itulah hati perlu berada dalam keadaan sentiasa berhati-hati dengan memperbanyakkan istighfar. Bimbang rasa suka, cinta & sayang yang suci itu terheret menjadi rasa ingin selalu berbalas SMS, call & kerap berjumpa.

Setiap dosa besar bermula dengan dosa kecil. Setiap jenayah anggota bermula daripada dosa hati. Tidak hairanlah Rasulullah saw & generasi salafussoleh amat berhati-hati menjaga hati dengan memperbanyakkan istighfar setiap hari meskipun mereka bukanlah pendosa.

Daripada al-Aghar bin Yasar al-Muzani r.a berkata,
Rasulullah saw bersabda yang bermaksud :
"Wahai sekalian manusia, minta ampunlah (istighfar) kepada Allah SWT. Sesungguhnya aku meminta ampun & bertaubat kepada Allah SWT 100 kali setiap hari."
(Riwayat Muslim)

Daripada Abu Hurairah r.a, dia berkata,
Aku mendengar Rasulullah saw bersabda yang bermaksud :
"Demi Allah SWT, sesungguhnya aku beristighfar & bertaubat kepada Allah SWT dalam satu hari lebih daripada 70 kali."
(Riwayat Al-Bukhari)



cinta fitnah
Hati yang menjadi raja kepada jasad boleh mengarahkan anggota badan seperti lidah, tangan, kaki, mulut, & telinga untuk bertindak bertentangan dengan panduan syariat. Apabila lisan & perbuatan mula melaksanakan arahan hati itu, ketika inilah fitrah menjadi fitnah.

Fitrah boleh menodai serakah. Walaupun hati akur bahawa fitrah cinta ialah anugerah Allah SWT, ironinya, hati juga ingkar bahawa fitrah cinta itu ada peraturannya daripada Alah SWT. Apa-apa yang Allah SWT haramkan, dilakukan. Apa-apa yang Allah SWT perintahkan, ditinggalkan. Demi cinta, segala-galanya menjadi "halal" belaka. Kerana si dia, Allah SWT dipersia-siakan. Na'uzzubillah

Urusan antara lelaki & perempuan pada asalnya dibolehkan. Namun, ramai orang yang beralasankan "urusan" untuk menghalalkan ikhtilat (perhubungan) yang terlarang. Call, SMS, dating, chatting tanpa urusan kian membarah sebagai budaya.

"Dah makan ke?"
"Tengah buat apa tu?"
"Esok nak pakai baju warna apa?"
"Dah tidur ke?"

Adakah ini dikatakan urusan?
Perlukah berurusan dengan soalan-soalan ini?
Bukankah ini boleh mengheret seseorang kepada langkah seterusnya?
Adakah ini boleh membawa seseorang makin ingat Allah ataupun sebaliknya makin lalai kepada Allah?
Wallahu a'lam.
Manusia tidak berhak menghukum hati sesiapa. Bertanyalah sendiri kepada Pencipta hati masing-masing.


cinta barakah
Cinta fitrah yang dipelihara kesuciannya akan berbuah barakah. Barakah itu mungkin di dunia, mungkin juga di akhirat. Lebih indah jika barakah itu pada kedua-duanya sekali, di dunia & di akhirat.

Orang yang mempersiapkan diri dengan peribadi Muslim insyaAllah akan dianugerahkan bait al-Muslim (rumah tangga Muslim). Orang yang berusaha menjadi soleh, InsyaAllah akan dimudahkan Allah mendapat orang yang solehah.

Cinta yang barakah akan terus bersemarak indah dalam ikatan nikah. Ia melengkapkan separuh agama. Namun andai tiada jodoh di dunia, cinta fitrah yang terpelihara akan terus mendapat barakah dengan meneguk lazatnya redha pada ketentuan-Nya.

Perkahwinan bukanlah matlamat cinta. Ia cuma alat untuk lebih mudah mendapat cinta-Nya. Sama ada cinta fitrah itu dianugerahkan atau tidak, ia tidak dapat mengahalang seseorang untuk mendapatkan cinta Allah. Dialah sebenar-benarnya hakikat cinta ! =)








No comments:

Post a Comment