Saturday 24 December 2011

~AMAL SOLEH SELAMATKAN 3 LELAKI~

Diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar bahawa dia mendengar Rasulullah s.a.w bersabda ketika menceritakan sebuah kisah sebagai teladan, cerita baginda: 

"Telah keluar 3 orang lelaki pergi mengembara, tiba disebuah gua mereka 
masuk untuk tujuan bermalam. Sebaik sahaja masuk tiba-tiba sebuah batu besar 
jatuh dari atas gunung & menutup pintu gua. Lalu mereka berkata sesama 
sendiri kerana tidak dapat keluar dari gua, sambil berdoa kepada Allah 
dengan mengemukakan amal soleh yang telah mereka lakukan. 

Salah seorang dari mereka lalu berdoa; "Ya Allah, Ya Tuhanku. 
Sesungguhnya Engkau mengetahui bahawa aku mempunyai ibu bapa yang tua & aku tidak 
pernah minum susu sebelum memerahkan susu kambing & kedua mereka meminumnya. 

Tetapi pada suatu hari kambing itu telah keluar jauh mencari makan & aku 
tidak menunaikan kewajipanku kepada orang tuaku seperti biasa sehingga mereka tertidur. 
Setelah aku memerah susu, ibu bapaku masih tidur & aku teringin minum susu itu. Namun aku terus menunggu mereka bangun dari tidur sehingga terbit fajar. Anak-anak ku menjerit-jerit lapar di kakiku menyebabkan ibu bapaku terjaga & minum susu yang aku perah itu. 

Ya Tuhanku, jika apa yang telah aku lakukan itu mendapat keredhaan-Mu maka 
lepaskan kami dari bencana yang sedang kami hadapi." 
Tiba-tiba batu besar yang menutupi pintu gua itupun terbuka sedikit, tetapi mereka masih tidak dapat keluar. 



Maka lelaki yang kedua pula berdoa;
"Ya Allah, ya Tuhanku. Sesungguhnya Engkau mengetahui aku ini mempunyai seorang sepupu perempuan yang amat aku cintai & aku sering merayunya untuk berdua-duaan, tetapi dia sentiasa menolak. 
Pada suatu hari dia menemuiku & aku memberinya 120 dinar dengan harapan 
dia mahu berdua-duaan bersama ku. Ia menerima permintaan ku itu. Ketika aku 
menghampirinya tiba-tiba dia berkata:
"Takutlah kepada Allah. Janganlah melakukan sesuatu yang dimurkai Allah." 

Aku merasa serba salah & berhenti dari percubaan ku untuk memperdayakannya 
serta meninggalkanya pergi sendiri, sedangkan dia gadis yang amat aku cintai & aku juga meninggalkan wang emas yang telah aku berikan kepadanya itu. 

Wahai Tuhan ku, seandainya apa yang telah aku buat itu mendapat keredhaan-Mu 
maka lepaskan kami dari bencana yang sedang kami hadapi ini." 
Tiba-tiba batu besar itu bergerak sedikit lagi. Namun ketiga-tiga lelaki itu 
masih gagal melepaskan diri dari pintu gua itu. 


Akhirnya lelaki yang ketiga pula berdoa;
"Ya Allah, Ya Tuhan ku. 
Sesungguhnya aku telah mengupah beberapa orang pekerja untuk melakukan satu pekerjaan. Aku telah membayar upah kecuali seorang pekerja yang telah 
meninggalkan tempat itu tanpa mengambil wang upahnya terlebih dahulu. 
Wang itu telah aku kembangkan sehingga menjadi banyak. 
Pada suatu hari dia datang menanyakan tentang wang upahnya itu. Aku jawab: 
"Semua unta, lembu, kambing & hamba sahaya yang engkau lihat di depan 
matamu itulah upahnya yang engkau tinggal kepadaku dulu." 

Orang itu menjawab: "Kau mempermainkan aku?" 

Aku menjawab: "Tidak. Aku tidak mempermainkan engkau, memang benar itu harta mu. Ambillah semuanya." 

Dia pun mengambil semua hartanya tanpa meninggalkan sedikitpun. Wahai Tuhanku, andai kata perbuatanku itu mendapat keredhaan Mu maka lepaskanlah kami dari bencana yang sedang kami hadapi ini." 

Lalu batu besar itu pun bergerak sehingga pintu gua terbuka lebar membolehkan ketiga-tiga lelaki itu keluar dengan selamat." 



Dari apa yang Rasulullah s.a.w sabdakan itu, jelas menggambarkan bagaimana 3 lelaki soleh itu dapat keluar dari gua kerana doa & amalan baik yang dilakukannya telah dimakbulkan Allah. 

Cerita lelaki yang memuliakan ibu bapa itu memperlihatkan kepada kita bahawa 
orang yang beriman benar-benar memuliakan ibu bapa mereka & sungguh-sungguh berbakti & memelihara keselamatan & kebajikan ibu bapa mereka. Keperluan ibu bapa diutamakan dari orang lain mahupun dirinya 
sendiri. Sehingga sanggup menderita & bersusah payah asalkan ibu bapa 
hidup senang. 

Begitu juga lelaki yang kedua, dia sungguh-sungguh takutkan Allah, apabila 
diperingatkan akan Allah, segera takut. Kerana takut itu dia segera 
meninggalkan maksiat, perkara yang dimurkai Allah. 

Begitu juga lelaki yang ketiga, kerana kejujurannya memelihara amanah, sedia 
berkhidmat & menolong orang lain. Ia sentiasa bertolak ansur, tidak mengikut kehendak nafsu. 

Sifat-sifat yang dimiliki oelh tiga lelaki ini seharusnya menjadi contoh 
kepada kita semua. Betapa Allah memuliakan mereka di dunia. Apa lagi di akhirat nanti di beri ganjaran pahala dengan nikmat kebahagiaan di syurga.






No comments:

Post a Comment